Menjana Pendapatan Sampingan di Alam Maya

Menjana pendapatan sampingan di alam maya:

Kelebihan:
1. Tanpa modal
2. Bayaran dalam US Dolar

Syarat/Cabaran:
Sabar dan jangan tamak kerana ia tidak menjanjikan kekayaan luar biasa melainkan kepuasan mengutip sumber pendapatan dalam amaun yang kecil tanpa mengeluarkan MODAL. Klik “banner” di bawah jika ingin mencuba…selamat berjaya !!
 

Advertisements

Trip ke Melbourne-Sydney-Canberra 2012_Hari Pertama (Part 1)

Pengenalan

Tanggal 26 Mei 2012 sekali lagi sejarah tercipta dalam diari kehidupanku. Buat kali kedua impian menjejaki Australia akhirnya tercapai. Kali ini saya dan isteri mencuba destinasi yang lain pula. Berbekalkan carian dalam internet dan maklumat dari blog serta capaian ‘Google Earth” kami mengembara ke Melbourne (Victoria), Sydney (New South Wales) dan Canberra (Austalia Capital Territory). Seperti biasa saya akan kongsikan catatan perjalanan mengikut tentatif harian yang telah saya rancang lebih awal dari tanah air.

Hari Pertama

Seawal jam 7.00 malam kami sudah mula check in. Penerbangan Antarabangsa khasnya ke Australia dibuka untuk “check in” dan pemeriksaan 3 jam sebelum waktu pelepasan. Seperti biasalah, saya sangat teruja dan tidak sabar lagi menunggu untuk “boarding”. Masa 3 jam di Airport terasa sangat lama. Untuk mengisi masa terluang, saya mengambil kesempatan mengambil gambar suasana dalam airport LCCT dan memuat turun beberapa keping gambar dalam FB saya. Jam 10.00 malam kami sudah mula keluar dari balai menunggu untuk menaiki pesawat. Di hadapan kami, pesawat Airasia X jenis Airbus A330-300 sudah sedia menunggu. Saya sangat kagum melihat pesawat ini yang jauh lebih besar dari pesawat untuk kegunaan domestik. Tepat jam 10.30 malam, pesawat Airasia X yang kami naiki berlepas dari LCCT. Subhanallah ! semasa pesawat dalam pendakian ke udara saya terpegun melihat keindahan bulan sabit yang menyinari ruang udara malam pantai barat Semenanjung.

8 jam dalam penerbangan malam, tidak banyak yang dapat dilakukan. Sekejap melihat ke tingkap pesawat, sekejap tidur sekejap membaca majalah dalam pesawat. Begitulah rutin saya bersilih ganti. Saya tidak nyenyak tidur dalam pesawat dalam keadaan duduk dibangku. Apa yang bermain dalam kepala saya ialah memohon kepada Ilahi semoga perjalanan dan sesi kembara kami pada kali ini berjalan dengan lancar dan dijauhkan dari segala malapetaka. Lebih kurang jam 5 pagi, dalam pandangan malam yang gelap, saya sudah mula melihat lampu-lampu bercahaya di bawah kami. Pada masa itu, saya sedar kami sudah pun berada di ruang udara benua Australia.

Jam 7.00 pagi, landskap ruang udara wilayah Victoria sudah mula kelihatan. Saya cukup bertuah kerana dapat menyaksikan sebuah pesawat penumpang berselisih dengan pesawat kami dari arah bertentangan. Saya sempat merakam peristiwa tersebut. Dari tingkap pesawat, pemandangan di bawah sungguh mempersona. Tenang minda dan perasaan melihat padang ragut menghijau bak hamparan permaidani di waktu subuh. Lembu-lembu sudah mula bertaburan di padang yang seluas saujana mata memandang itu sambil menikmati “santapan pagi” segar mereka.

Jam 8.20 pagi pesawat kami mendarat di Melbourne seperti yang dijadualkan. Kami melalui proses pemeriksaan Imigresen, Kastam dan Kuarantin. Pihak Imigresen bertanya soalan asas kepada saya seperti “Sudah berapa kali ke Australia” dan “Berapa lama berada di sini”. Di bahagian kuarantin, kami bersama beberapa orang yang baru tiba telah diarahkan untuk berbaris sambil meletakkan beg masing-masing di lantai. Ini adalah proses yang perlu dilalui untuk tujuan pemeriksaan oleh anjing pengesan. Walaupun sebelum ini saya pernah ke Perth, namun saya tidak pernah melalui proses pemeriksaan seperti ini. Syukur Alhamdulillah tiada apa-apa yang ditemui dalam beg kami oleh anjing tersebut. Namun, seorang pelancong kulit putih betul-betul di belakang saya telah dibawa ke bilik khas kerana anjing pengesan telah menghidu sesuatu di dalam beg pakaiannnya.

Sebaik sahaja proses pemeriksaan selesai, kami melangkah keluar ke balai ketibaan. Syukur Alhamdulillah selamat sampai….akhirnya kami dah sampai di Bumi Melbourne kota fesyen dan antara bandar yang paling sejuk di Australia. Aduh…sejuuuuuuuknya !!! Pokok-pokok dihadapan terminal semuanya berwarna kuning (sedikit layu) dan ada yang gugur. Melbourne sedang dalam peralihan ke musim sejuk pada masa itu.

Dari Terminal Antarabangsa saya dan isteri bergerak menuju ke Terminal 4 iaitu terminal tambang murah khas untuk pesawat Tiger Airways. Terminal ini jauh lebih kecil berbanding LCCT KLIA. Kami ada masa lebih kurang 4 jam lagi untuk penerbangan seterusnya ke Sydney menggunakan khidmat pesawat Tiger Airways iaitu pelapasan jam 1.30 petang. Sebenarnya, saya memilih untuk transit dan tukar pesawat di Melbourne kerana Airasia belum lagi memperkenalkan laluan terus KL-Sydney semasa saya menempah tiket penerbangan ke Melbourne. Jadi, salah satu cara untuk sampai ke Sydney pada masa itu dengan kos yang murah adalah dengan menggunakan pesawat Tiger Airways. Walaupun mengambil masa yang agak lama dalam perjalanan setelah mengambil kira masa transit, namun saya berpuas hati kerana berpeluang melihat suasana bandar-bandar di Australia.

Menggunakan pesawat Tiger, kami tiba di Terminal Domestik lapangan Terbang Sydney pada jam 3.05 petang. Dari terminal, saya telah merancang untuk menggunakan mode pengangkutan rel atau komuter untuk sampai ke Pusat Bandar. Namun agak malang, perkhidmatan rel tiada pada hari tersebut kerana sedang dibaiki/dinaik taraf. Orang kata, setiap sesuatu pasti ada hikmahnya. Di sebalik kesukaran mungkin ada kemudahan. Pihak airport dan mungkin juga pihak rel/komuter telah menyediakan pengangkutan alternatif ke pusat bandar secara “PERCUMA” pada hari berkenaan iaitu menggunakan perkhidmatan Bas Shuttle.

Jam 2.00 petang, dengan hanya berjalan kami selama 5 minit dari Central Station kami pun tiba di hotel penginapan kami iaitu The Great Southern Hotel di Geogre Street. Hotel ini sangat-sangat saya sarankan bagi sesiapa yang berhasrat ke Syndey khasnya yang pertama kali menjejak kaki ke sana kerana:

1. Berhampiran Central Station (Stesyen Bas dan Keretapi) untuk ke Airport dan bergerak di dalam Bandar Sydney dan juga wilayah2 Australia yang lain.

2. Geogre Street (Lokasi Hotel) adalah laluan bas percuma dalam Bandar yang beroperasi dari jam 9 pagi sehingga jam 3 atau 5 petang bergantung pada jadual.

3. Terdapat restoran halal milik orang Malaysia berhampiran hotel iaitu Kasturi Café (Tidak sampai satu minit pun berjalan kaki dari hotel).

4. Di bahagian belakang hotel, terletaknya pasar dan pusat beli-belah terkenal di Sydney iaitu Paddy Market/City Market. Boleh cari makanan dan minuman halal di sini serta internet berbayar.

5. Harga munasabah dan selesa. Hotel juga akan menawarkan harga yang lebih murah pada saat-saaat akhir.

Setelah Check In…pengisian hari pertama dihabiskan dengan berehat di hotel kerana terlalu penat dan mengantuk. Bersambung….

Perjalanan darat Sabah-Brunei-Sarawak Part 1

Hujung tahun 2011, saya bersama beberapa orang ahli keluarga berpeluang ke Bumi Kenyalang, Sarawak merentasi Brunei melalui jalan darat. Ini adalah pengalaman pertama saya ke Sarawak dan merupakan perjalanan darat yang paling jauh pernah saya tempuhi. Tentunya jauh , mencabar dan memenatkan. Namun perjalanan ini menitipkan pengalaman baru dan menarik yang bukan semua orang pernah menikmatinya. Ikuti catatan saya untuk trip ini…

Hari Pertama

Jam 6.00 pagi kami bertolak dari Kota Kinabalu dan tiba di Sindumin di mana terletaknya sempadan Sabah-Sarawak lebih kurang jam 9.00 pagi. Bermula dari sempadan Sindumin/Lawas kami melalui 5 perbatasan/sempadan yang terdiri dari 10 Pos Kawalan Imigresen. Berikut senarai pos imigresen yang dilalui sebelum sampai ke Bahagian Miri:

SEMPADAN DAN POS KAWALAN IMIGRESEN YANG DILALUI

1.POS KAWALAN IMIGRESEN SINDUMIN, SABAH – POS KAWALAN IMIGRESEN MERAPOK (LAWAS), SARAWAK

Kedua-dua pos ini berada dalam bangunan/bumbung yang sama. Ia merupakan pintu keluar Sindumin, Sabah dan pintu masuk ke Bahagian Lawas, Sarawak.

2. POS KAWALAN IMIGRESEN MENGKALAP (LAWAS), SARAWAK – POS KAWALAN IMIGRESEN LABU (TEMBURONG), BRUNEI

Sempadan ini pula merupakan pintu keluar Lawas dan pintu masuk ke Temburong, Brunei. Selepas pemeriksaan pasport di Pos Labu, pembawa kenderaan Malaysia hendaklah ke kaunter kastam Brunei yang terletak di bahagian tepi bangunan untuk mengisi borang permit membawa kenderaan. Permit ini sahlaku untuk kegunaan berkali-kali selama 3 bulan. Pemilik kenderaan hendaklah membawa geran/kad kenderaan sebagai prosedur permohonan permit. Jika bukan pemilik kenderaan, kebenaran bertulis oleh pemilik hendaklah dibawa bersama. (Jika bernasib baik..dokumen tersebut hanya diperiksa jika diperlukan. Untuk selamat lebih baik sediakan dan bawa bersama).

3. POS KAWALAN IMIGRESEN PUNI (TEMBURONG), BRUNEI – POS KAWALAN IMIGRESEN PANDARUAN (LIMBANG), SARAWAK

Sempadan pintu keluar Temburong, Brunei dan pintu masuk ke Limbang, Sarawak. Pos Imigresen Puni terletak beberapa kilometer dari pekan Bangar iaitu pusat pentadbiran Temburong. Pos ini agak tersorok kerana ia bukan berada di tepi jalan utama iaitu perlu masuk ke simpang sebelah kiri jika dari arah Sabah. Perhatikan papan tanda/”signboard” dengan teliti. Jika anda sampai ke Sungai Pandaruan di mana terletaknya perkhidmatan feri ke Limbang tanpa melalui pemeriksaan Imigresen Puni, bermakna anda telah terlepas pos tersebut. Jika itu yang berlaku, anda perlu berpatah balik ke pos berkenaan sebelum menaiki feri (saya telah melalui perkara ini kerana tiada pengalaman). Perkhidmatan feri menyeberangi Sungai Pandaruan ini dikenakan caj RM8.00/B4.00. Kedua-dua mata wang Malaysia dan Brunei diterima untuk pembayaran.

4. POS KAWALAN IMIGRESEN TEDUNGAN (LIMBANG), SARAWAK – POS KAWALAN IMIGRESEN KUALA LURAH, BRUNEI

Sempadan ini adalah pusat pemeriksaan keluar dari Limbang dan masuk ke Brunei (Bandar Seri Begawan). Dalam banyak-banyak pos kawalan yang kami lalui, di sinilah tempoh yang paling lama kami ambil untuk melalui pemeriksaan imigresen. Dari jam 2.00 petang hinggalah jam 4.00 petang. Ini kerana kenderaan dari arah Malaysia memasuki Brunei amat banyak dan terpaksa beratur panjang pada masa tersebut.

Selesai pemeriksaan imigresen, buat kali kedua kami berada dalam wilayah Brunei. Kami meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Seri Begawan. Singgah di masjid kubah bersalut emas, santai di dataran tebing sungai berlatar belakangkan Kampung Air yang terkenal dan mengisi perut yang kelaparan di sebuah restoran. Selepas dua jam masa dihabiskan di ibu negara Brunei ini, kami teruskan perjalanan menuju ke sempadan Brunei-Miri(Sarawak). Masa menunjukkan jam 6.00 petang pada masa itu. Kami terpaksa tergesa-gesa kerana khuatir tidak sempat melepasi pintu sempadan yang ditutup pada jam 10.00 malam. Alhamdulillah, kami tiba di sempadan iaitu di Sungai Tujoh, Kuala Belait pada jam 8.00 malam setelah sesat dalam perjalanan.

5. POS KAWALAN IMIGRESEN SUNGAI TUJOH(KUALA BELAIT), BRUNEI – POS KAWALAN IMGRESEN SUNGAI TUJOH (MIRI), SARAWAK.

Tiba di sempadan ini pada jam 8.00 malam. Ia adalah pintu keluar Brunei dan pintu masuk ke Sarawak (Bahagian Miri). Tidak jauh dari pos pemeriksaan, kami melalui jambatan “ASEAN BRIDGE” yang dikenakan bayaran tol(kalau tidak silap RM10.00).

Setelah melalui tempoh perjalanan yang panjang dan memenatkan, kami tiba di Bandar Miri pada jam 9.30 malam. Kami bermalam di Park Hotel Miri yang terletak bersebelahan dengan terminal bas Miri. Perjalanan diteruskan keesokan harinya dengan destinasi seterusnya iaitu Bintulu, Sibu dan berakhir di Mukah. Bersambung….

Slideshow Trip ke Perth, Australia 2010

Trip ke Perth, Australia 2010 Slideshow: KEMBARA’s trip to 2 cities including and Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!

Slideshow Trip ke Tarakan, Indonesia 2012

Trip ke Tarakan, Indonesia 2012 Slideshow: KEMBARA’s trip to 2 cities including and Tawau was created with TripAdvisor TripWow!

CATATAN PERJALANAN PERTH, AUSTRALIA 2010 (Bahagian Akhir)

HARI KETIGA

Hari ini kami mengambil keputusan untuk pergi lebih jauh sedikit dari kawasan bandar. Sasaran penerokaan kami ialah Ladang Anggur dan Taman Hidupan Liar yang dimiliki oleh pihak persendirian iaitu Caversham Wildlife Park di Swan Valley. Ketiadaan kenalan dan kerisauan tersesat di lokasi yang terletak 13 kilometer dari bandar Perth ini mendorong kami untuk menggunakan khidmat syarikat pelancongan iaitu Syarikat Pelancongan Pinnacle Tour yang terletak berhampiran dengan hotel penginapan kami.

Tepat jam 1.00 petang kami bertolak dari tempat berkumpul menuju ke destinasi yang dituju. Bersama-sama kami dalam rombongan ini adalah pelancong dari Jerman, Filipina dan Singapura. Sepanjang perjalanan, pemandu bas tidak jemu memberi penerangan mengenai tempat-tempat yang kami lalui. Beberapa minit berlalu, rombongan kami melalui satu kawasan pemandangan hijau yang luas terdiri dari deretan pokok-pokok yang kelihatan seperti sayur. Menurut pemandu bas, itu adalah ladang anggur. Walau bagaimanapun, sebelum kami diturunkan di ladang anggur kami dibawa mengunjungi kilang coklat iaitu The Margeret River Chocolate Company . Di sini terdapat banyak produk coklat yang boleh dibeli. Pengunjung juga berpeluang untuk merasai beberapa sampel coklat yang disediakan oleh pihak kilang secara percuma.

Seterusnya, dari kilang coklat kami dibawa ke Taman Hidupan Liar Caversham Wildlife Park yang terletak tidak jauh dari kilang tersebut. Di taman persendirian ini kami diperkenalkan dan diberi peluang untuk mendekati serta menyentuh haiwan-haiwan yang menjadi mercu tanda Australia seperti Kanggaru, Koala dan Wombat. Selain itu, pengunjung juga diberi kesempatan untuk memberi makanan kepada Kanggaru menggunakan tapak tangan masing-masing. Sebaliknya di Zoo Perth yang terletak di bandar, peluang seperti ini tidak dapat dinikmati oleh pengunjung kerana pihak pengurusan Zoo tidak membenarkan pelawat mendekati apatah lagi menyentuh haiwan-haiwan ini. Itulah kelebihan taman persendirian ini berbanding Zoo Perth.

Selepas acara memberi makanan kepada Kanggaru, kami dihidangkan dengan persembahan mengetam bulu kambing biri-biri. Pertunjukan bermula dari proses pengumpulan kambing di padang dengan bantuan anjing terlatih untuk dibawa kehadapan penonton. Seterusnya barulah proses pengetaman bulu kambing dipertontonkan.

TERSEREMPAK DANGAN SCHA AWAN DANIA.

Semasa bergerak keluar dari pertunjukan, saya terserempak dengan beberapa krew Astro yang sedang membawa kamera. Menurut perkiraan saya, mungkin pihak Astro sedang membuat dokumentari di sini agaknya. Namun selang beberapa ketika di sebelah krew tersebut seorang artis yang tidak asing lagi di tanah air iaitu Scha (Awan Dania) kelihatan sedang berbincang mengenai proses penggambaran di tapak tersebut. Barulah saya sedar mungkin ini sebahagian dari pembikinan babak drama Awan Dania yang bakal ditayangkan. Memandangkan pergerakan kami secara rombongan, kami meninggalkan lokasi tersebut tanpa sempat melihat proses penggambaran drama popular itu.

Seterusnya, dari taman Hidupan Liar Caversham kami bergerak ke destinasi terakhir pada petang itu iaitu Ladang Anggur Sandalford. Pada masa itu, semua pokok anggur sedang berbuah. Malangnya, kami tidak perpeluang menikmati anggur tersebut kerana buahnya masih muda (belum boleh dipetik). Sebagai tanda kenang-kenangan ketibaan kami di situ saya mengambil peluang mengambil gambar-gambar di kawasan ladang tersebut. Tepat jam 4.30 petang rombongan kami bergerak pulang ke hotel seperti yang dijadualkan. Esoknya adalah hari terakhir kami di Perth. Hari terakhir diisi dengan perjalanan santai di bandar sebelum bergerak ke Airport seterusnya kembali ke Kuala Lumpur dengan seribu kenangan manis.

Pemandangan Swan River dari dalam bas.

Ladang Anggur di Swan Valley

Kilang Cokelat The Margeret River Chocolate Company

Caversham Wildlife Park

Kanggaru

Koala. Haiwan Australia yang tidak minum air.

Wombat, haiwan yang agak hodoh.

Kambing biri-biri sedang diketam.

Buah anggur muda.

Ladang anggur: Saujana mata memandang.

Pinnacle Tour. Ejen pelancongan yang menyediakan pakej lawatan ke ladang anggur. Di belakang sana adalah Hotel penginapan kami.

CATATAN PERJALANAN PERTH, AUSTRALIA (Bahagian 3)

HARI KEDUA

Misi perjalanan hari ini dimulakan dengan mengunjungi King’s Park and Botanic Garden.  Taman ini terletak berhampiran dengan bandar dan merupakan salah satu mercu tanda  bandar Perth. Kami menaiki bas CAT ( Bas Percuma) dari pusat bandar seawal jam 8.00 pagi. Ketibaan kami disambut dengan kicauan burung gagak yang mendominasi bunyi burung-burung lain di kawasan taman tanah tinggi ini. Dari taman ini, pengunjung disajikan dengan pemandangan indah seluruh lembah yang merangkumi pusat Bandar Perth dan Sungai Swan (Swan River) yang berbentuk angsa. Kebetulan, sungai yang terletak di tebing Bandar Perth ini dihuni oleh angsa hitam sejak beratus-ratus tahun lamanya. Boleh dikatakan tidak sah kunjungan ke Perth jika tidak melawat taman ini.

Tenang dan nyaman, itulah dua perkataan yang mampu saya ungkapkan apabila berbicara mengenai taman seluas 1000 ekar ini. Selain kicauan burung-burung yang kedengaran di seluruh lembah, aroma segar dari bunga pokok-pokok liar cukup mententeramkan jiwa ditambah lagi dengan suhu pagi yang cukup dingin. Hilang seketika segala tekanan kehidupan. Masa setengah hari yang kami peruntukkan di taman ini tidak berbaloi rasanya untuk menikmati semua keindahan yang sukar ditemui ini. Tapi apakan daya, masa tidak mengizinkan kami untuk lebih lama di sini kerana banyak lagi destinasi lain yang perlu dikunjungi.

Setelah puas mengambil gambar di King’s Park Garden, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Zoo Perth. Untuk sampai ke sini, kami perlu menaiki feri dari jeti Swan River. Ia mengambil masa selama 7 minit. Sebenarnya terdapat lagi alternatif lain iaitu menaiki bas atau keretapi. Tapi kami memilih menaiki feri untuk merasai pengalaman menggunakan kepelbagaian sistem pengangkutan di sini.

Tidak lain dan tidak bukan hasrat utama saya ke sini adalah untuk melihat secara dekat semua haiwan-haiwan “marsupial” (haiwan2 yang ada poket di badannya) terutamanya Kanggaru yang merupakan mercu tanda Negara Australia. Syukur Alhamdulillah kami menemuinya di sini. Malangnya kami tidak boleh mendekatinya apatah lagi menyentuhnya. Ini kerana ia agak liar dan berada dalam kawasan larangan untuk dimasuki (dipagar dengan tali). Seperti zoo yang lain, Zoo ini turut menempatkan pelbagai haiwan yang berasal dari benua-benua yang berbeza termasuklah dari Asia Tenggara seperti Gajah dan Orang Utan. Sedar tak sedar kunjungan kami di zoo berlanjutan hingga waktu zoo ditutup iaitu pukul 5.00 petang. Dalam perjalanan ke jeti untuk kembali ke pusat bandar, kami terlihat papan tanda iklan restoran melayu di Mends Street iaitu Tina’s Kitchen. Restoran ini terletak di bahagian blok yang agak tersembunyi. Kami singgah di restoran milik orang Melayu Singapura ini untuk menikmati makan malam sebelum pulang ke hotel. Misi perjalanan hari kedua berakhir di sini.

Kanggaru sedang berehat di zoo.

King’s Park Garden 1. Bahagian kiri sepanjang jalan pengunjung boleh menyaksikan panorama indah lembah di mana terletaknya bandar Perth dan Swan River.

Kings’s Park Garden 2

Saujana Mata Memandang. Bandar Perth dan Swan River dari King’s Park Garden. Lihat bot di tengah sungai, itulah feri yang kami gunakan untuk menyeberang dari pusat bandar ke Zoo Perth.

Bandar Perth yang tenang.