Perjalanan darat Sabah-Brunei-Sarawak Part 1

Hujung tahun 2011, saya bersama beberapa orang ahli keluarga berpeluang ke Bumi Kenyalang, Sarawak merentasi Brunei melalui jalan darat. Ini adalah pengalaman pertama saya ke Sarawak dan merupakan perjalanan darat yang paling jauh pernah saya tempuhi. Tentunya jauh , mencabar dan memenatkan. Namun perjalanan ini menitipkan pengalaman baru dan menarik yang bukan semua orang pernah menikmatinya. Ikuti catatan saya untuk trip ini…

Hari Pertama

Jam 6.00 pagi kami bertolak dari Kota Kinabalu dan tiba di Sindumin di mana terletaknya sempadan Sabah-Sarawak lebih kurang jam 9.00 pagi. Bermula dari sempadan Sindumin/Lawas kami melalui 5 perbatasan/sempadan yang terdiri dari 10 Pos Kawalan Imigresen. Berikut senarai pos imigresen yang dilalui sebelum sampai ke Bahagian Miri:

SEMPADAN DAN POS KAWALAN IMIGRESEN YANG DILALUI

1.POS KAWALAN IMIGRESEN SINDUMIN, SABAH – POS KAWALAN IMIGRESEN MERAPOK (LAWAS), SARAWAK

Kedua-dua pos ini berada dalam bangunan/bumbung yang sama. Ia merupakan pintu keluar Sindumin, Sabah dan pintu masuk ke Bahagian Lawas, Sarawak.

2. POS KAWALAN IMIGRESEN MENGKALAP (LAWAS), SARAWAK – POS KAWALAN IMIGRESEN LABU (TEMBURONG), BRUNEI

Sempadan ini pula merupakan pintu keluar Lawas dan pintu masuk ke Temburong, Brunei. Selepas pemeriksaan pasport di Pos Labu, pembawa kenderaan Malaysia hendaklah ke kaunter kastam Brunei yang terletak di bahagian tepi bangunan untuk mengisi borang permit membawa kenderaan. Permit ini sahlaku untuk kegunaan berkali-kali selama 3 bulan. Pemilik kenderaan hendaklah membawa geran/kad kenderaan sebagai prosedur permohonan permit. Jika bukan pemilik kenderaan, kebenaran bertulis oleh pemilik hendaklah dibawa bersama. (Jika bernasib baik..dokumen tersebut hanya diperiksa jika diperlukan. Untuk selamat lebih baik sediakan dan bawa bersama).

3. POS KAWALAN IMIGRESEN PUNI (TEMBURONG), BRUNEI – POS KAWALAN IMIGRESEN PANDARUAN (LIMBANG), SARAWAK

Sempadan pintu keluar Temburong, Brunei dan pintu masuk ke Limbang, Sarawak. Pos Imigresen Puni terletak beberapa kilometer dari pekan Bangar iaitu pusat pentadbiran Temburong. Pos ini agak tersorok kerana ia bukan berada di tepi jalan utama iaitu perlu masuk ke simpang sebelah kiri jika dari arah Sabah. Perhatikan papan tanda/”signboard” dengan teliti. Jika anda sampai ke Sungai Pandaruan di mana terletaknya perkhidmatan feri ke Limbang tanpa melalui pemeriksaan Imigresen Puni, bermakna anda telah terlepas pos tersebut. Jika itu yang berlaku, anda perlu berpatah balik ke pos berkenaan sebelum menaiki feri (saya telah melalui perkara ini kerana tiada pengalaman). Perkhidmatan feri menyeberangi Sungai Pandaruan ini dikenakan caj RM8.00/B4.00. Kedua-dua mata wang Malaysia dan Brunei diterima untuk pembayaran.

4. POS KAWALAN IMIGRESEN TEDUNGAN (LIMBANG), SARAWAK – POS KAWALAN IMIGRESEN KUALA LURAH, BRUNEI

Sempadan ini adalah pusat pemeriksaan keluar dari Limbang dan masuk ke Brunei (Bandar Seri Begawan). Dalam banyak-banyak pos kawalan yang kami lalui, di sinilah tempoh yang paling lama kami ambil untuk melalui pemeriksaan imigresen. Dari jam 2.00 petang hinggalah jam 4.00 petang. Ini kerana kenderaan dari arah Malaysia memasuki Brunei amat banyak dan terpaksa beratur panjang pada masa tersebut.

Selesai pemeriksaan imigresen, buat kali kedua kami berada dalam wilayah Brunei. Kami meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Seri Begawan. Singgah di masjid kubah bersalut emas, santai di dataran tebing sungai berlatar belakangkan Kampung Air yang terkenal dan mengisi perut yang kelaparan di sebuah restoran. Selepas dua jam masa dihabiskan di ibu negara Brunei ini, kami teruskan perjalanan menuju ke sempadan Brunei-Miri(Sarawak). Masa menunjukkan jam 6.00 petang pada masa itu. Kami terpaksa tergesa-gesa kerana khuatir tidak sempat melepasi pintu sempadan yang ditutup pada jam 10.00 malam. Alhamdulillah, kami tiba di sempadan iaitu di Sungai Tujoh, Kuala Belait pada jam 8.00 malam setelah sesat dalam perjalanan.

5. POS KAWALAN IMIGRESEN SUNGAI TUJOH(KUALA BELAIT), BRUNEI – POS KAWALAN IMGRESEN SUNGAI TUJOH (MIRI), SARAWAK.

Tiba di sempadan ini pada jam 8.00 malam. Ia adalah pintu keluar Brunei dan pintu masuk ke Sarawak (Bahagian Miri). Tidak jauh dari pos pemeriksaan, kami melalui jambatan “ASEAN BRIDGE” yang dikenakan bayaran tol(kalau tidak silap RM10.00).

Setelah melalui tempoh perjalanan yang panjang dan memenatkan, kami tiba di Bandar Miri pada jam 9.30 malam. Kami bermalam di Park Hotel Miri yang terletak bersebelahan dengan terminal bas Miri. Perjalanan diteruskan keesokan harinya dengan destinasi seterusnya iaitu Bintulu, Sibu dan berakhir di Mukah. Bersambung….

Advertisements

About kembara gemilang
Seorang yang minat mengambil ruang dan peluang untuk meneroka, menjelajah dan menikmati alam ciptaan Ilahi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: